Bayu Kasih – Part 1

Sabarlah hati… Dia berbisik pada dirinya. Dia tahu, pemergian Haris kali ini tidak akan lama. Tapi… dia masih lagi gelisah. Tingkahlaku Haris tadi membuatkan dia tergamam. Di hadapan ibubapanya, Haris mencium dahinya. Wajah Maisarah bertukar kemerahan.

“Tunggu abang pulang,” Bisik Haris sebelum masuk ke ruang check-in. Setelah kelibat Haris menghilang, Maisarah berpaling kepada ibu dan bapa Haris yang turut menemaninya ke lapangan terbang. Wajah kedua orang tuanya itu kelihatan tenang. Ibu Haris, Puan Sakinah memegang tangan Maisarah.

“Apa kata kalau Maisarah bermalam di rumah Mama. Dah lewat malam dah ni. Bahaya kalau memandu sorang-sorang.” Ucap Puan Sakinah. Tuan Khaidir hanya mengangguk, menyetujui cadangan isterinya. Akhirnya Maisarah akur. Dia juga sebenarnya masih keletihan. Selepas pulang dari out-station pagi tadi, dia terus ke rumah Haris. Sengaja Haris tidak mahu dihantar oleh Pak Mamat yang kebetulan ingin menemani isterinya yang baru bersalin. Maisarah akur pada permintaan tunangnya itu. Lagipun, tak ada salahnya dia bermalam di rumah ibu bapa Haris. Sekurang-kurangnya dia dapat bermesra dengan mereka setelah hampir sebulan tidak bertemu. Mereka melangkah perlahan ke tempat letak kereta di mana Maisarah meletakkan keretanya.

*****

Dia memandang ke arah teman-teman yang kelihatan girang mengambil gambar. Kepalanya terasa pusing, matanya pula berpinar-pinar. Kerana itulah dia hanya duduk di bangku itu sejak beberapa minit yang lalu.

“Mai… Kau okay ke?” Izla mendekatinya. Dia risaukan keadaan Maisarah yang kelihatan pucat sejak pagi tadi. Maisarah hanya menganggukkan kepalanya sambil tersenyum. “Kalau kau nak, nanti aku minta papa singgah di klinik.” Tawar Izla lagi.

“Tak mengapa. Mungkin aku macam ni sebab tak biasa jalan jauh.” Ujar Maisarah. “Eh, Intan panggil kau tu. Pergilah. Jangan risau, aku tak apa-apa. Aku nak rehat kejap. Bila dah okay nanti, aku join korang.” Maisarah menunjuk ke arah Intan yang sedang menggamit mereka. Izla meninggalkannya dengan berat hati.

Dia bersendirian lagi. Keindahan di taman ala-ala Inggeris itu dinikmatinya sepenuh hati. “Alangkah indahnya kalau taman di rumah aku nanti dibuat seperti ini juga. Cantik… Tak jemu mata memandang. Bunga-bunga ros yang mekar, wangi… E… Macam di taman impian pula rasanya. Nanti di hujung sudut tu, aku nak tambah ayunan.” Maisarah berkira-kira.

“Hai.” Dia terkejut apabila seorang lelaki melabuhkan punggung di sebelahnya. Lelaki itu tersenyum. “Dari tadi saya nampak awak sendirian di sini. Kenapa?” Maisarah hanya mendiamkan diri, membiarkan soalan lelaki itu tidak dijawab. Dia rasa kurang selesa berduaan dengan lelaki itu.

“Maaf. Erm… Saya pergi dulu.” Maisarah bangun dari bangku panjang itu. Namun langkahnya terhenti apabila perutnya terasa ditusuk. Pedih.

“Awak okay ke?” Lelaki itu memapahnya semula ke bangku. Dia kelihatan panik. “Kalau awak sakit, duduk aje di sini. Jangan hiraukan saya kalau awak tak nak bercakap dengan saya. Anggap je saya ni halimunan.” Maisarah senyum dalam kepayahan mendengar kata-kata lelaki itu. Akhirnya, untuk seketika…mereka hanya duduk di bangku tanpa berkata sepatah pun. Tidak lama kemudian, lelaki itu pergi meninggalkan Maisarah. ‘Mungkin dia tak tahan, duduk dengan tunggul kayu macam aku ni.’ Bisik Maisarah. Dia memegang perutnya yang masih pedih. Tiba-tiba pula perut ni buat hal. Entah kenapa, sejak akhir-akhir ni bahagian perut itu selalu pedih. Tak kira masa. Nak kata gastrik, mustahil sebab sebelum bertolak tadi mereka sudah bersarapan.

“Minumlah.” Lelaki itu muncul semula dengan sekotak air soya bean. Di tangannya yang satu lagi juga ada sekotak minuman yang sama.

“Terima kasih.” Dia menyambut kotak minuman itu dari lelaki itu.

“Saya Haris. Awak?” Lelaki itu memperkenalkan diri.

“Mai… Sarah.” Jawab Maisarah. Niatnya untuk memalsukan nama tidak menjadi. Kesian pula melihat wajah lelaki di sebelahnya. Nampak tulus…dan tenang.

“Oh… Boleh saya panggil awak Sarah?” Tanyanya lagi. Maisarah hanya menggangguk. “Awak buat apa di sini?”

“Kami dari Sarawak. Tengah bercuti.” Jawab Maisarah singkat. Dia memandang ke arah Haris yang sedang menyedut minumannya. ‘Nasib baik dia bagi soya bean. Kalau air lain, memang aku tak boleh nak minum…’ Desis Maisarah. Dia kaget apabila tiba-tiba Haris memandang ke arahnya. Pantas dia menolehkan mukanya ke arah lain.

“Pucat betul muka awak.” Komen Haris. Nada suaranya seperti orang kerisauan. “Awak sakit apa?” Lama Maisarah mendiamkan diri. Haris pula, tidak mendesak Maisarah untuk menjawab soalannya. Tidak lama kemudian Maisarah menggelengkan kepala sambil tersenyum.

“Aneh, kan? Badan saya, tapi saya tak tahu apa sakit saya.” Getusnya. Haris memandang ke arah gadis di sebelahnya. Walaupun wajah gadis itu pucat, tapi senyumannya memang cukup manis dan mempunyai daya tarikan. Daya tarikan itulah yang menggamitnya untuk mendekati gadis itu.

“Awak tak jumpa doktor? Untuk pastikan sakit awak…” Ujar Haris.

“Tak payahlah. Bukannya apa-apa pun. Anggap je, sebab tak biasa jalan jauh. Senang cerita.” Maisarah ketawa kecil.

“Cakap je, awak takut nak jumpa doktor. Takut kena suntik. Ye tak?” Haris mengusiknya. Senang hatinya melihat wajah Maisarah yang sedang ketawa. “Alasan je tu… tak nak jumpa doktor.”

“Ah… Bukanlah. Kalau setakat sakit macam ni… Manalah doktor nak layan.” Ucap Maisarah seolah-olah jauh hati. Dia teringatkan peristiwa yang terjadi ketika di sekolah menengah. Tak pasal-pasal dia dimarahi kerana berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan kerana sakit kepala. Dia risau kerana kepalanya sering sakit dan bilangan rambut yang gugur juga sangat banyak sehingga membuatkan dia takut dan risau. ‘Awak tak payah ke klinik kalau setakat sakit kepala. Beli aje panadol kat kedai atau farmasi.’ Kata doktor wanita itu dengan sinis. Dia langsung tidak bertanya atau membuat diagnosa lanjut untuk mengenalpasti penyakit yang dihidapi oleh gadis itu. Sejak itu, Maisarah nekad untuk tidak berjumpa lagi dengan doktor kecuali sekiranya dia mendapat sakit teruk. Itupun selepas dipaksa keras oleh keluarga dan kawan-kawan.

“Sarah… Boleh tak kalau saya ingin kenal awak dengan lebih rapat?” Pertanyaan daripada Haris membuatkan Maisarah ketawa.

“Kenapa? Awak kesian kat saya?” Spontan pertanyaan itu terkeluar dari bibirnya yang masih pucat. Air muka Haris berubah. “Maaf. Saya tak berniat nak menyinggung perasaan awak.”

“Tak mengapa. Saya tahu. Siapalah saya ni… Cuma seorang lelaki yang entah siapa yang tiba-tiba duduk di sebelah awak.” Haris pura-pura merajuk. Dia seronok melihat Maisarah yang mula gelabah.

“Eh. Ke situ pula. Erm… Yalah. Kawanlah.” Haris tersenyum lebar mendengar kata-kata Maisarah. Comel juga gadis ini. “Mana kawan-kawan saya ni? Lama betul.” Maisarah memandang jam tangannya.

“Nak nombor telefon awak.” Haris menghulurkan telefon bimbitnya. Meminta supaya Maisarah mengisi sendiri nombor telefon itu di dalam telefon bimbit tersebut. Maisarah mendail nombor telefon bimbitnya dan kemudian membuat panggilan ke telefonnya pula.

“Okay. Eh… Itu pun mereka.” Maisarah melambai-lambaikan tangan ke arah mereka. Dia memperkenalkan Haris kepada Izla dan rakan-rakannya serta bapa Izla, Pakcik Omar.

“Ha… Apa kata kalau kamu berdua ambil gambar bersama. Maisarah langsung tak ada sekeping gambar pun di sini.” Izla yang nakal meminta Maisarah dan Haris duduk berdekatan. Tanpa sebarang amaran dia terus menekan punat kamera digitalnya beberapa kali.

*****

Haris tersenyum sendiri menatap foto Maisarah di dalam dompetnya. Inilah wajah gadis pertama yang didekatinya sejak pulang dari London. Wajah pucat gadis itu yang menggamit hatinya. Dan seolah ditarik magnet, kakinya melangkah ke arah gadis yang sedang duduk bersendirian di bangku putih di taman ala-ala Inggeris itu. Lamunannya terhenti apabila telefon bimbitnya berdering.

“Assalamualaikum. Haris, dah sampai ke?” Suara ibunya menerjah ke telinga. Kedengaran suara bapanya yang sedang batuk.

“Baru sampai, ma. Haris dalam perjalanan ke hotel. Papa tak sihat ke?” Haris bertanya. Suara bapanya kedengaran sayup di telinga seperti sedang berbual dengan seseorang.

“Macam tu lah gayanya. Dah berkali-kali Sarah pujuk dia masuk tidur. Dia masih juga nak berbual dengan tunang kamu tu.” Keluh ibunya. Seketika Puan Sakinah memandang ke arah suami dan bakal menantunya. Maisarah tersenyum. Mungkin dia sudah dapat menangkap dengan siapa Puan Sakinah sedang berbual.

“Boleh mama bagi telefon kat papa sebentar?” Seketika telefon itu bertukar tangan. “Papa tak sihat?” Dia bertanya apabila terdengar suara bapanya memberikan salam.

“Batuk aje. Tak ada apa-apalah…” Jawab Tuan Khaidir.

“Papa ni sama aje macam Sarah. Kalau sakit, memang tak nak mengaku. Apa yang ayah bualkan dengan dia?” Haris bertanya sambil tersenyum. Dia dapat membayangkan kemesraan Maisarah melayan bapa dan ibunya. Sifat Maisarah yang mudah menyesuaikan diri dengan merekalah yang membuatkan hati Haris sejuk. Dia tidak risau sekiranya Maisarah masuk ke dalam keluarganya nanti sebagai menantu tunggal bapa dan ibunya. Dia terus berbual dengan bapanya sehingga bateri telefonnya habis. Haris mengeluh kesal. Niatnya untuk berbual dengan Maisarah terpaksa ditangguhkan.

Sampai sahaja di hotel, Haris menghenyakkan tubuhnya di atas katil. Wajah Maisarah bermain-main di matanya. Peristiwa pertemuan pertama mereka di Taman Memorial Perang di Kundasang tidak berakhir begitu sahaja. Dia sendiri tidak menyangka mereka akan bertemu lagi dalam waktu terdekat. Siapa sangka, mereka ditemukan semula di dalam kapal terbang yang membawa Maisarah pulang ke Sarawak. Dia sengaja mengambil tempat di sebelah gadis itu. ‘Mujur terniat hati nak cuba naik pesawat AirAsia. Kalau ikut naik MAS, memang confirm tak dapat jumpa dia’. Hati Haris bersorak. Maisarah agak terkejut ketika dia mengambil tempat di sebelah gadis itu.

“Kita jumpa lagi.” Dia tersenyum memandang gadis itu. Maisarah mengangguk. Bibirnya turut mengukir senyuman. Dia meneliti wajah Maisarah yang kemerahan.

“Ya, tak sangka. Awak nak ke mana?” Tanya Maisarah.

“Ke mana sahaja kapal terbang ni nak bawa saya.” Jawab Haris bergurau. “Hari ni awak sihat?”

“Ya… Sihat. Syukurlah.” Maisarah mencuit lengan rakan di sebelahnya. “Ni, ingat tak Haris. Yang kita jumpa di Kundasang hari tu…” Rakan di sebelahnya itu tersenyum sebelum menolehkan semula wajahnya ke tingkap. Wajahnya kelihatan sangat penat.

“Kawan awak nampak penat betul.” Komen Haris. Dia membandingkan wajah Maisarah dengan rakannya.

“Oh… Semalam kami ke Poring. Sempat naik canopy walk tu.” Jelas Maisarah. Wajahnya kelihatan berseri-seri.

“Awak naik canopy tu…? Kalau tak silap saya kena mendaki beberapa kilometer dulu baru sampai ke jambatan tu. Lepas tu kena melalui jambatan 4 kilometer kan?” Maisarah mengangguk-angguk. “Wah… Lasak sungguh.” Komen Haris lagi.

“Hehe… Saya cabar diri sendiri. Sebenarnya, saya ni takut ketinggian. Tak sangka pulak boleh tahan pergi dan balik. Tapi memang penat le…” Maisarah bercerita. Kemudian mereka mula bercerita mengenai tempat-tempat percutian yang dilawati oleh Maisarah.

Haris tersenyum lagi mengingatkan kenangan itu. Maisarah asyik bercerita sehingga tidak menyedari Haris merenung wajahnya yang cerah tanpa berkelip. Wajah itulah yang kekal tersemat di hati Haris sehingga kini.

Leave a comment