Bayu Kasih – Part 6

Anita memandang gadis yang baru muncul itu tidak berkelip. Itulah Maisarah yang pernah diceritakan oleh Haris kepadanya. Gadis itu memang cantik dan mempunyai daya tarikan tersendiri. ‘Sayangnya, hati Haris masih kuat mencintai aku. Dan sayangnya, wanita ini akan terpaksa menjadi maduku. Isteri yang kedua. Tak mengapa, asalkan aku dapat bersama dengan Haris.’ Bisik Anita. Maisarah duduk di hadapannya.

“Sarah nak minum apa-apa?” Dia bertanya sambil melemparkan senyuman.

“Tak payahlah kak. Sarah tak boleh lama.” Jawab gadis itu sopan. Anita mengangguk-anggukkan kepalanya. Hairan, gadis ini masih boleh bersikap tenang walaupun di hadapan seorang wanita yang bakal menjadi madunya.

“Kakak minta maaf sekiranya mengganggu Sarah. Sebenarnya, tujuan kakak jumpa Sarah…” Dia menjelaskan niatnya kepada Maisarah. Gadis itu mendiamkan diri sehingga dia menamatkan kata-kata akhirnya.

“Kak. Maisarah sudah tetap dengan keputusan Maisarah. Tak akan ada wanita lain dalam hidup Abang Haris selain kakak. Maisarah tidak akan berkahwin dengan Abang Haris dan tak mungkin ada apa-apa hubungan lagi dengannya selepas ini.” Ucap Maisarah tegas.

“Sarah… Sebagai wanita, kakak faham perasaan Sarah. Sarah tidak rela berkongsi kasih suami…”

Pantas Maisarah memintas kata-kata wanita itu. “Ya, dan sebagai wanita… kakak juga perlu faham yang fitrah wanita, tidak akan tenang apabila memikirkan suaminya di dalam dakapan wanita lain. Adakah sebagai wanita, kakak tidak memikirkan perkara tersebut? Kakak rela ke, memikirkan yang Abang Haris di dalam dakapan saya sedangkan kakak seorang diri di rumah menunggu-nunggu kepulangannya?” Anita terkedu. Mampukah dia melawan fitrahnya? Tidakkah dia cemburu apabila memikirkan Haris berada bersama dengan wanita lain? “Sudahlah, kak. Bagi saya, semua ni mustahil. Dan jangan pernah harap lagi saya akan menjadi madu kakak. Saya tak rela.” Maisarah berlalu meninggalkannya hanyut dengan persoalan-persoalan yang mencabar kewanitaannya.

*****

Beg yang sarat dengan pakaian itu diseretnya keluar dari rumah sewa. Segala urusannya telah selesai dan dia kini boleh pulang ke kampung dengan hati lega. Dia nekad meninggalkan segalanya di Miri. Betty memandangnya haru.

“Mai… Nanti kau jangan lupa hubungi aku, ye. I’ll miss a great housemate like you.” Betty memeluk erat rakannya. Air matanya membasahi pipi. Maisarah ketawa kecil melihat gelagat Betty.

“Alah… Entah-entah kau yang lupakan aku. Maklumle… Dah ada boyfriend…” Maisarah mengenyitkan matanya kepada Danny yang setia berdiri di sebelah Betty. Pantas Betty mengutil lengan Maisarah membuatkan gadis itu mengaduh kesakitan. “Danny, aku harap kau jaga kawan aku ni baik-baik. Kalau tak, sia-sia je aku rekomen kau jadi boyfriend dia. And lastly, kalau korang nak kahwin nanti… jangan lupa hantar kad jemputan. Kalau tak, aku pasang bom kat pintu dewan.” Maisarah melawak, cuba menghindari perasaan sedih yang menyelubungi jiwanya. Dia memasukkan segala barangnya ke dalam Toyota Rush yang dibelinya dengan titik peluhnya sendiri. Selepas mengucapkan selamat tinggal kepada Betty dan Danny, dia memandu perlahan meninggalkan rumah sewa itu. Sampai di simpang, sebuah kereta menghalang jalannya. Kereta Vios itu memang amat dikenalinya.

“Sarah.” Haris mengetuk-ngetuk cermin MPV itu namun Maisarah enggan keluar. Dia memberikan isyarat supaya Haris mengalihkan keretanya ke tepi. Namun demikian, lelaki itu terus mendesaknya. Akhirnya Maisarah turun. “Maafkan abang, Sarah.” Haris memegang tangannya.

“Cukuplah. Lepaskan saya.” Maisarah menarik kuat tangannya dari pegangan Haris sehingga terlepas.

“Maafkan abang. Tolonglah terima abang semula.” Rayu Haris.

“Kalau macam tu, jangan kahwin dengan Anita.” Luah Maisarah. Dia tersenyum sinis memandang perubahan di wajah Haris. “Tak rela, kan? Sudahlah. Saya tahu, awak takkan melepaskan Anita. Dan saya tahu, satu hari nanti saya pasti akan disisihkan. Jadi, sebelum perkara itu berlaku… Ada baiknya saya mengelakkannya. Daripada saya berkongsi kasih dengan suami orang, baik lagi saya cari seorang lelaki yang hanya milik saya seorang. Yang sah-sah menjadikan saya satu-satu isterinya. Betul tak?” Maisarah menunjukkan wajah yang ceria. Dia sengaja menyakitkan hati Haris.

“Abang tak dapat hidup tanpa Maisarah.” Luah Haris.

“Alihkan kereta awak, atau saya akan jerit supaya orang ramai sangka awak sedang memeras ugut saya.” Ugut Maisarah. Dia tidak mahu melayan perasaan. ‘Perasaan yang sudah basi dan tidak ada ertinya lagi’. Desis Maisarah. Dia sudah muak dengan kata-kata manis yang dilontarkan oleh lelaki itu. Akhirnya Haris mengalah dan menepikan keretanya. Maisarah memecut laju meninggalkan lelaki itu tergamam seorang diri.

Leave a comment