Bayu Kasih – Part 8

Maisarah! Nama itu tiba-tiba terdetik di hatinya. Dia memandang jam tangan yang sudah mendekati jam 9.00 malam. Izwan gelisah. Adakah pertemuan pada malam ini akan terbatal seperti sebelumnya? Dia mengeluh. Bukan mudah dia mencari masa untuk menemui gadis itu. Setiap kali, ada sahaja masalah sehingga kadang-kadang membuatkan dia berputus asa. Telefon bimbitnya berdering.

“Wan.” Suara Maisarah menerjah ke telinganya.

“Wan, aku… Kereta aku rosak. Boleh tak kau datang ke sini?” Terketar-ketar suara Maisarah. “Cepat ye, Wan. Aku takut.”

“Mai… Kau di mana?” Izwan bertanya. Selepas Maisarah memberitahunya tempat di mana kereta gadis itu rosak, dia pantas meninggalkan restoran. Hatinya berdegup kencang. Dia risaukan keselamatan Maisarah. Kalaulah dia bertegas untuk menjemput Maisarah di rumahnya tadi dan tidak membiarkan gadis itu memandu sendirian, pasti hal ini tidak akan berlaku.

Dia memandu keretanya, mencari-cari Maisarah dan keretanya yang tersadai di tepi jalan. Tidak lama kemudian, dia ternampak sebuah Toyota Rush di bahu jalan. Dia membelokkan keretanya ke arah kereta itu.

“Mai.” Dia mengetuk-ngetuk tingkap kereta gadis itu. Maisarah keluar dari keretanya. Wajah gadis itu kelihatan pucat.

“Kenapa lambat sangat?” Keluhnya.

Sorry. Kenapa dengan kereta kau ni?”

“Airnya kering. Aku lupa nak check sebelum jalan tadi.” Jelas Maisarah.

“Itulah kau. Tadi, aku nak jemput engkau tak nak. Sekarang apa dah jadi?” Sempat lagi Izwan berleter. Maisarah memasamkan mukanya. “Ha, tengoklah tu. Bukannya boleh ditegur.”

“Yalah. Aku minta maaf. Sekarang macam mana?”

“Apalagi? Panggil mekanik le.” Izwan mendail nombor telefon rakannya yang bekerja sebagai mekanik. Tidak sampai 30 minit, rakannya itu sampai dan membawa kereta Maisarah ke bengkel. “Habis, macam mana plan nak makan malam? Dah jam 11 ni.” Maisarah hanya tersenyum.

“Kita supper ajelah. Takkan kau nak balik rumah?” Cadangnya.

“Erm…yalah. Mai… Mai…” Izwan menggelengkan kepalanya. Kalau bukan kerana Maisarah itu teman lamanya, mungkin teruk juga gadis itu dimarahinya. Izwan memandu keretanya ke sebuah restoran 24 jam.

“Macam mana kau sekarang?” Izwan memulakan bicara. Wajah gadis di hadapannya itu diperhatikan seketika. Nampak cengkung dan tidak bermaya. Dia tahu masalah yang dihadapi oleh temannya itu.

“Macam yang kau tengok.” Maisarah ketawa kecil. “Tak banyak berubah.”

“Huh. Jangan kau nak perasan. Kau ingat, kau tu maintain slim ke? Makin slim aku tengok. Tak cukup makan ke?” Izwan menyindir.

“Alah Wan… Dah memang saiz aku macam ni. Nak buat macam mana lagi?” Jawab Maisarah. Enggan meluahkan masalahnya kepada Izwan.

“Mai, kau ingat aku tak tahu ke? Kau tu kerja keras. Semata-mata nak lupakan tunang kau tu kan?” Kata-kata Izwan menyentap hati Maisarah.

“Bukan tunang. Bekas tunang, okay?” Ada nada kurang senang pada suaranya. “Sudahlah. Aku tak nak fikirkan hal-hal yang dah berlalu. Buat semak kepala otak aku aje.” Maisarah memandang keluar dari tingkap restoran itu. Matanya terpaku pada seorang lelaki yang baru masuk ke dalam restoran. Lelaki itulah yang menegur tentang penutup tangki minyaknya tempohari. Lelaki itu membalas pandangannya sambil tersenyum.

“Kalau kau dah tak nak fikirkan hal tu lagi… Apa kata kau terima aje cadangan mak bapak kau? Kahwin aje…” Kata-kata Izwan membuatkan Maisarah tersedak.

“Nak kahwin dengan Sufian tu? Ish. Tak nak aku.” Wajah Maisarah mencuka. Dia teringatkan Sufian. Lelaki yang sering mengganggunya sejak sekolah menengah. Lelaki itu pernah menimbulkan kekecohan semasa majlis pertunangannya dengan Haris.

“Dia tu kan, kaya, handsome… Dan yang paling penting sekali, dia cintakan kau. Tak cukup ke?” Izwan bertanya lagi. Maisarah hanya menggelengkan kepalanya.

Not my taste.” Getus Maisarah.

“Jadi, kau nak yang macam Haris?” Selamba Izwan menyebut nama itu. Maisarah memandangnya tajam.

“Kenapa dengan kau ni? Asyik Haris, Haris, Haris. Kau sengaja nak sakitkan hati aku. Aku tak suka nama tu disebut lagi di depan aku. Aku benci! Sekali lagi kau sebut nama dia, aku balik.” Bentak Maisarah. Izwan mengeluh.

“Okay. Aku minta maaf. Aku cuma nak kau buka pintu hati kau tu. Buka pintu hati kau untuk terima cinta dari orang lain. Kalau kau tak nak Sufian, aku ada seorang kawan lagi yang nak kenal dengan kau.” Izwan tersenyum.

“Kau jangan nak mula, Wan. Aku tak suka kita asyik cakap tentang hal kahwin, kahwin, kahwin. Aku bosan. Baik kau cerita tentang diri kau pulak. Apasal tiba-tiba datang cari aku?” Maisarah menjeling Izwan.

“Ehm… Sebenarnya apa yang aku nak cakap ni ada kaitan dengan kahwin juga. Bulan depan aku dengan Siti nak kahwin. Aku nak kau datang. Demi sahabat sejati kau yang satu-satunya ni, kau mesti datang. Kalau tak, kita putus kawan.” Maisarah tergelak mendengar ancaman Izwan.

“Takkan sampai macam tu sekali… Okay, kalau aku tak datang kau nak putuskan kawan. Kalau aku datang, apa pulak jadinya?” Maisarah mengusik.

“Nanti la aku fikirkan. Yang penting, kau datang dulu.” Izwan tersenyum. Dia tahu, gadis itu tidak akan mengecewakannya. Dia yakin, Maisarah masih ingat lagi janji mereka untuk menjadi sahabat sejati sampai bila-bila.

Leave a comment