Bayu Kasih – Part 3

Sejuk matanya memandang Sarah Mitchell yang semakin akrab dengan Haris. Anita tersenyum sendiri. Adakah kisah cinta yang pernah mereka lalui satu masa dulu, boleh disambung semula? Pertanyaan itulah yang sering difikirkannya sejak pertemuan semula dia dan Haris. Sejak bertemu dengan lelaki itu, kesunyian yang mengisi hatinya sejak pemergian Johan Stephen Abdullah mula lenyap. Nama Haris sentiasa mengisi ruang hatinya. Dia juga semakin merindukan saat-saat indah yang mereka lalui di kampus. Mereka umpama pasangan belangkas yang tidak boleh berenggang sehingga diibaratkan oleh teman-teman sekuliah seperti sepasang chopstick. Di mana ada Anita, di situ ada Haris. Sehingga pada Prompt Night Tahun Akhir pengajian, percintaan mereka dinobatkan sebagai The Most Romantic Couple of the Year.

“Hai, apa yang difikirkan tu? Tersenyum sendiri nampaknya…” Haris melabuhkan punggung di sebelahnya, meninggalkan Sarah Mitchell yang masih lagi bermain.

“Ingatkan kisah silam kita. Pada Malam Prom tu…” Jawab Anita sambil tersenyum. Senyumannya dibalas oleh Haris. “Is… Maafkan I ye.” Tiba-tiba wajah Anita berubah muram.

“Tak mengapa. Anggaplah semua tu sebagai ujian buat kita. Ujian yang memisahkan kita untuk sementara. I tak pernah berdendam dengan you pasal hal tu. Jujurnya, hati I masih cintakan you, Nita.” Haris menggenggam jemari Anita yang runcing. Peristiwa di hari pertunangan mereka berputar semula di fikirannya. Pada hari itu, dia terjelepuk lemah di dalam biliknya apabila mama menelefon dan mengkhabarkan kepadanya mengenai Anita yang melarikan diri dari rumah bersama dengan lelaki lain. Namun, kenangan pahit itu tidak sedikit pun memadamkan cintanya pada gadis itu. Dia masih tetap mencintai dan mengingati Anita sehinggalah Maisarah muncul di dalam hidupnya. Fikirnya, mungkin Maisarah dapat membuatkan dia melupakan Anita. Namun, kemunculan semula Anita membuatkan rasa cintanya terhadap wanita itu kembali mekar. ‘Maafkan abang, Sarah.’ Bisiknya perlahan.

“Is… Apakah you masih ingin hidup bersama dengan I?” Tergagap-gagap Anita melontarkan pertanyaan itu. Wajah Haris yang sedang menunduk kelihatan berubah seketika. “I’m sorry, kalau-kalau soalan ini terlalu awal untuk kita bicarakan. You ambillah masa untuk berfikir. I bersedia untuk menerima apa jua jawapan you.” Anita memanggil Sarah Mitchell tanpa menunggu jawapan. Dia meminta diri untuk pulang apabila Sarah Mitchell sudah berada di sampingnya.

*****

Maisarah mendekati kereta Vios yang berhenti di hadapan lobi pejabatnya. Haris melemparkan senyuman ke arahnya. Kepenatan setelah beberapa jam menghadap kerja hilang seketika ketika menatap wajah tunangnya itu.

“Abang hantar Sarah balik ke rumah terus ye.” Haris memandu keluar dari perkarangan bangunan itu. Dia sebenarnya ada temujanji jam 8.00 malam ini.

“Erm… Tak singgah makan dulu ke?” Maisarah bertanya. Kehairanan kerana kebiasaannya, mereka akan singgah makan dulu sebelum Haris menghantarnya pulang ke rumah.

“Abang ada temujanji dengan klien. Jam 8.00. Takut terlewat pula nanti.” Haris memberitahu. Terasa hatinya berdegup kencang. Itu bukanlah pembohongannya yang pertama namun dia sendiri tidak pasti kenapa setiap kali dia membohongi gadis itu, hatinya terasa berdegup kencang. Dia memandang Maisarah yang hanya mendiamkan diri. “Abang janji, esok malam kita dinner sama-sama. Ye sayang…” Dia menggenggam tangan Maisarah, cuba memujuk hati Maisarah. Dia tahu, Maisarah tidak puas hati. Baru hari ini mereka berjumpa dan dia pula tidak dapat meluangkan masa dengannya.

“Tak mengapa. Esok malam Sarah ada janji dengan Tini. Mak dia jemput ke kenduri arwah ayahnya.” Ucap Maisarah. Nadanya kedengaran kecewa. Sudahnya, sepanjang perjalanan pulang mereka hanya mendiamkan diri. Hanyut dalam perasaan masing-masing. Haris dengan rasa bersalahnya dan Maisarah pula dengan kekecewaannya.

*****

Pai epal yang dimakannya terasa tersekat-sekat di kerongkong. Baru sebentar tadi dia terlihat sesosok tubuh yang amat dikenalinya. Abang Haris, nama itu terluncur di bibirnya. Namun, dia segera memadamkan prasangkanya. Tak mungkin Abang Haris akan berdampingan dengan wanita lain sedekat itu. Lagipun, pada masa itu lelaki itu jauh berada di dalam restoran dan dia sendiri tidak pasti dengan kebenaran pandangannya. Bayangan lelaki yang sedang memeluk pinggang wanita bertubuh seksi itu segera dipadamkan dari fikirannya.

“Mai! Tak sedap ke pai tu?” Betty melambai-lambaikan tangannya di hadapan Maisarah. Dia kehairanan kerana sikap Maisarah yang agak berlainan pada malam itu. Sudahlah tiba-tiba mengajar Betty keluar dari restoran yang awal tadi… Sekarang macam ke lain je fikirannya.

“Ha…? Apa kau cakap tadi?” Maisarah kelam-kabut sehingga sudu yang dipegangnya jatuh berdenting di atas meja. Wajahnya berubah kemerahan. “Sorry.

“Apa kena dengan kau malam ni? Lain macam aje aku tengok.” Tanya Betty. Maisarah hanya menggelengkan kepalanya. Dia masih belum bersedia untuk berkongsi dengan Betty. Seketika kemudian, Maisarah tersenyum.

“Eh, macam mana dengan first date kau? Danny tu okay kan…” Maisarah menukar topik.

“Haha… Dia tu funny juga orangnya. Caring… Aku suka. Kau tahu, dia ajak aku keluar lagi hujung minggu ni.” Betty mula bercerita mengenai Danny, rakan sepejabat Maisarah. Maisarah mendengar cerita Betty dan kadang-kadang menyampuk. Sedaya-upaya dia cuba mengalihkan perhatiannya daripada memikirkan Haris. ‘Tak mungkin abang bersama dengan wanita itu. Bukankah sekarang dia bertemujanji dengan klien…?’ Maisarah menenangkan hatinya. “Anyway, thanks sebab temukan aku dengan dia. Semua ni jasa kau tau.” Hampir tersedak Maisarah ketika Betty menepuk bahunya. Betty memandangnya kehairanan.

Of course la… Takkan le aku nak jodohkan housemate aku ni dengan orang yang tak senonoh. Karang tak pasal-pasal pulak kita bergaduh kat rumah tu. Aku juga yang susah nanti.” Jawapan Maisarah disambut dengan tawa bahagia Betty. Selepas menghabiskan pai masing-masing, mereka terus pulang ke rumah.

Leave a comment