Bayu Kasih – Part 5

Haris menikus mendengar tengkingan bapanya. Ibu yang duduk di sebelah bapanya hanya mendiamkan diri sambil mengurut dada.

“Kau dah tak siuman ke, Haris?” Berkali-kali soalan itu dilontarkan Tuan Khaidir kepadanya. Wajah orang tua itu kemerahan kerana marah. Cincin pertunangan yang diserahkan Haris kepadanya dilontarkan semula kepada Haris. Hatinya berang mendengar keputusan anak tunggalnya itu. “Kami takkan bersubahat dengan kamu. Kami tak mahu terlibat dengan idea gila kamu ni. Kamu tak ingat ke bagaimana Anita tu memalukan keluarga kita? Dia yang tinggalkan kamu, kamu tak ingat ke? Keputusan papa muktamad, kami tak setuju kamu menikah dengan Anita. Kamu teruskan perkahwinan dengan Maisarah.” Tuan Khaidir meninggalkan ruang tamu. Puan Sakinah mengekorinya dari belakang. Haris masih lagi berdiri tegak di ruang tamu itu. Dia buntu. Dengan langkah lemah, dia pulang ke apartmennya.

Dia cuba menghubungi telefon bimbit Maisarah. Namun gadis itu langsung tidak mahu menyambut panggilannya. Dia mengeluh. “Percayalah Sarah, abang akan tetap menyayangi Sarah walaupun abang akan menikah dengan Anita. Kasih abang hanya pada kamu berdua.” Dia bercakap sendirian. Kemudian, dia mendail nombor telefon Anita. Dia mengajak Anita keluar makan malam bersama. Mereka berjanji berjumpa di Starbucks dalam masa 20 minit.

*****

Wajah Anita kelihatan berseri-seri walaupun dia tahu, dia terpaksa berkongsi kasih dengan seorang wanita lain bernama Maisarah. Dia redha seandainya itulah jalan yang terbaik untuk dia dan Haris menyatu. Dia sanggup hidup bermadu asalkan dia dan Haris dapat bersama. Dari jauh dia melambai ke arah Haris yang sedang duduk di satu sudut kafe itu. Wajah Haris lesu. Setelah Anita mengambil tempat, Haris menggamit pelayan untuk membuat pesanan.

You look terrible.” Komen Anita.

“Maisarah dan ibubapa I tidak bersetuju dengan permintaan I.” Luah Haris. Tangannya digenggam erat oleh Anita. “I dah tak tahu bagaimana nak jelaskan hal ni kepada mereka. I buntu.”

“Maafkan I, Is. Semua ni salah I. Kalaulah I tak tinggalkan you di hari pertunangan kita, mungkin perkara ni takkan berlaku. Mungkin sekarang kita bahagia bersama. Mungkin sekarang ni your parents takkan menentang niat kita.” Anita menundukkan wajahnya.

“Sudahlah, Nita. Yang penting sekarang ni, kita kena pujuk Maisarah supaya bersetuju. I rasa, kalau Sarah setuju… mungkin parents I takkan menghalang.” Terbetik idea itu di fikiran Haris. mungkin kalau Maisarah bersetuju untuk bermadu, ibubapanya akan dapat menerima permintaan Haris. Dia pasti, ibubapanya tidak akan menghalang. Kalau Maisarah bersetuju.

“Macam mana kalau I sendiri yang memujuk Maisarah. Mungkin sebagai wanita, dia akan memahami situasi I.” Anita menawarkan diri untuk memujuk Maisarah. Haris mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Okay. Thank you, sayang.” Tautan tangan mereka kian erat.

*****

Hari ni bukan sekali itu dia melihat mata Maisarah kembang. Dia tahu, saban malam Maisarah menangis. Meratapi perpisahan di antara dia dan Haris. Sebagai kawan, dia turut meratapi nasib teman serumahnya itu. Dia sendiri tidak menyangka ada lelaki setamak Haris di dunia ini. Kenangan indah yang diceritakan oleh Maisarah kepadanya mengenai pertemuan dia dan Haris membuatkan dia sehingga kini tidak mempercayai takdir yang dihadapi oleh rakannya itu.

Betty memeluk bahu Maisarah. “Sabarlah Mai.” Ucapnya. Hatinya pedih melihat keadaan rakan yang sudah menjadi tidak terurus. Sudah seminggu Maisarah bercuti dan dalam tempoh tersebut jugalah Maisarah berkeadaan demikian. Langsung tidak mahu bertemu sesiapa terutama sekali Haris. Dia sebagai rakan terpaksa membantu menjauhkan Maisarah daripada Haris. Satu tindakan yang dirasakannya pantas untuk dilakukan terhadap lelaki seperti itu. Telefon berdering lagi. Betty meninggalkan Maisarah seketika.

“Berapa kali kau nak aku ulang, Maisarah tidak mahu berjumpa dengan kau lagi. Dan tolong, jangan telefon ke rumah ini lagi. Boleh pekak telinga aku dengar telefon berdering setiap saat.” Leter Betty. Suara sengaja ditinggikan untuk menakutkan Haris. “Hei, jantan! Kau tak faham bahasa melayu ke? Go to hell with your love!” Betty menghempaskan gagang telefon. Hatinya panas membara. Dia masuk semula ke dalam bilik Maisarah.

“Dia lagi?” Tanya Maisarah. Betty mengangguk. “Maafkan aku, T. Menyusahkan kau. Kau jangan risau. Esok aku akan selesaikan segalanya. Terima kasih sebab sentiasa berada di sisi aku.” Ucap Maisarah. Wajah Betty yang keruh ditatapnya hiba. Akhirnya mereka berpelukan. Betty bangkit semula apabila terdengar pintu rumah mereka diketuk.

“Erm… Mai. Parents Haris nak jumpa.” Betty menjengukkan kepalanya ke dalam bilik. Maisarah mengangguk dan meminta Betty memberitahu mereka yang dia akan keluar sebentar lagi. Maisarah mengemaskan dirinya. Mencuci muka, menukar pakaian dan mengenakan sedikit alat solekan supaya wajahnya yang teruk itu tidak begitu ketara.

“Sarah…” Puan Sakinah memeluknya ketika dia muncul di ruang tamu. Betty meminta diri ke dapur. “Kenapa kamu jadi macam ni, Sarah?” Sebak nada wanita tua itu bertanya.

“Tak mengapa, ma. Mungkin memang jodoh Sarah dengan Abang Haris sampai di sini sahaja.” Jawab Maisarah. Sekilas dia memandang ke arah Tuan Khaidir yang masih mendiamkan diri.

“Kami dah buat keputusan untuk menghalang pernikahan Haris dengan perempuan tu. Kami tetap nak kamu jadi menantu kami.” Tuan Khaidir menyusun kata. “Tolonglah terima Haris semula.”

“Maafkan Sarah, pa. Sarah tak boleh. Hati Sarah dah hancur berkecai. Lagipun Sarah rasa, tak ada gunanya kita menentang pernikahan Haris dengan Anita. Mereka memang saling mencinta. Sarah tidak mahu jadi orang ketiga di antara mereka.” Maisarah tenang berkata-kata. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu melukakan hati kedua orang tua yang sudah dianggapnya seperti ibubapanya sendiri.

“Kami tidak mahu orang lain menjadi menantu kami.” Getus Puan Sakinah. Dia nyata kesal dengan pernyataan Maisarah. “Apatah lagi bermentantukan perempuan yang pernah menconteng arang di muka kami ni. Mama tak rela, Sarah.”

“Mama dan papa… Sarah minta maaf. Abang Haris adalah sejarah hitam buat Sarah. Selepas apa yang dia lakukan, Sarah tak mungkin akan memulakannya sekali lagi. Dia nekad memadukan Sarah. Dan Sarah tak rela. Tolonglah mama dan papa faham perasaan Sarah. Pasal Anita, terimalah dia. Sarah yakin, dia akan jadi menantu yang baik. Menantu yang berbakti kepada mama dan papa. Sarah mohon… Lepaskan Sarah.” Mengalir akhirnya air mata yang ditahan Maisarah sejak tadi. Hatinya benar-benar tidak tahan. Dia tetap dengan keputusannya. Melepaskan Haris walaupun hatinya terluka.

Leave a comment